Sunday, November 21, 2010

Alahai Taman Orang

Bunga matahari
Yang tunduk malu
Ummm... comelnya
Close up
Kering dan layu

Gambar diambil di sudut sebuah taman perumahan. Aku sudah jarang lalu di jalan tersebut tapi terkejut bila melihat ada taman kecil di tepi padang bola. Hati berdetik dan berbisik, taman ini mesti kepunyaan orang yang rumahnya di seberang jalan. Pokok-pokok bunga memenuhi halaman rumah teres dua tingkat tersebut. Bahkan pasu-pasu bunga diletakkan pada balkoni, di atas tiang gate, tepi longkang dan di luar pagar. Tetapi semua tanamannya dijaga elok.

Kalau musim kering bunga kertasnya paling cantik kerana satu pokok yang ala-ala bonsai mesti ada tiga empat warna bunga. Tidak cukup agaknya dia buat taman di kawasan rumah, dia buat pula di seberang jalan. Bukan pokok bunga matahari saja tapi banyak lagi jenis bunga yang ditanam. Sayuran pun ada, empat pokok kacang bendi dan terung, dua tiga perdu kucai, kunyit dan halia.

Mungkin dia memerhati aku dari tingkap rumahnya semasa aku terbongkok- bongkok mengambil gambar. Empat gambar di atas diambil ketika aku dalam perjalanan ke jamuan hari Raya Aidilfitri. Banyak bunga matahari yang sedang mekar. Gambar terakhir diambil
dua minggu sebelum Raya Haji yang mana semua bunga sudah kering dan layu. Begini nasib kalau tak bertaman sendiri dan teringin ada gambar-gambar cantik jadi terpaksalah mengendeng taman orang....

0 comments:

Post a Comment