Kalau ke Ulu Kuang sesekali aku singgah ke rumah Cik Normah yang sudah 5 tahun aku kenali. Cik Normah ni seorang yang peramah, lembut hati dan penyedih. Kalau ada perkara yang mengganggu fikirannya sekejap itu juga air matanya mengalir. Dia mempunyai seorang anak istimewa yang sudah berumur 15 tahun dan mungkin ini yang membuatkannya selalu hiba. Katanya dia tak miss menonton rancangan 'bersama Mu TV3' sambil menangis kerana terlalu simpati dengan nasib mereka yang malang.
Cik Normah sekeluarga sudah beberapa kali ke Mekah dan dia tetap membawa anak istimewanya bersama. Di sana anaknya tidak meragam dan mudah dibawa ke masjid serta melakukan ibadah yang lain. Demi kasih sayang dan belas kasihannya Cik Normah bersama suami telah membina sebuah pusat jagaan untuk anak-anak tersebut di sebelah rumahnya. Semoga Allah swt memberkati usaha keluarganya dan memberikan dia kesihatan yang baik agar dapat menabur bakti.
Hatiku berdetik dan berbisik; sungguh gigih dia berusaha sedangkan dia sendiri mengidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung. Katanya dia tak boleh berehat, banyak kerja nak menjaga anak-anak istimewa ni. Ada yang sudah berumur lebih 15 tahun tapi terpaksa di terima. Mereka datang dihantar oleh ibu bapa dan keluarga kerana di sini sahaja mereka dapat sedikit pelajaran dan tunjuk ajar. Sekurang-kurangnya cara untuk menguruskan diri sendiri bagi yang mampu.
Tidak ramai orang yang boleh beramal macam Cik Normah hatta yang kaya dan berpelajaran tinggi. Belas kasihan dan cinta pada anaknya membuatkan dia bersimpati pada keluarga yang mempunyai nasib yang sama. Dia berkorban wang ringgit, tenaga dan masa untuk memberikan mereka sedikit keceriaan dalam hidup. Aduhai berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.......
2 comments:
alhamdulillah. kak ct cemburu org2 mcm ni. biar tidak kaya di dunia asal kaya di akhirat. yg lebih kak ct takuti, kaya pahala amal serta derma di dunia tapi muflis di akhirat...
Ulu Kuang tu..kat tempat orang asli tu ya????
Post a Comment